PENGENALAN KOLEJ KOMUNITI SELAYANG(KKSY)

Konsep penubuhan dan pelaksanaan kolej komuniti di setiap kawasan Parlimen telah dipersetujui pihak Jemaah Menteri pada 5 Julai 2000 dan pada tahun 2001, 12 buah kolej komuniti rintis telah mula beroperasi. Bermula tahun 2005, pihak Jemaah Menteri telah menimbang semula konsep penubuhan kolej komuniti dan bersetuju agar penubuhan kolej komuniti berdasarkan keperluan kawasan setempat.

Kolej Komuniti Selayang (KKSY) telah ditubuhkan pada 16 Mac 2003 dengan menumpang di premis Sekolah Menengah Teknik Gombak sehingga 15 Ogos 2006. KKSY telah berpindah ke kampus induk di Persiaran Pegawai, KM16, Jalan Ipoh bersebelahan dengan Mahkamah Sesyen dan Majistret Selayang pada 16 Ogos 2006. Berkeluasan 10,567.910mp/18,615.556mp, KKSY mampu menempatkan 600 orang pelajar dalam satu sesi ambilan.

Dalam usaha bagi menjadikan KKSY sebagai sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berdaya saing, konsep penting telah diterapkan dalam Visi KKSY untuk menjadi “Institusi TVET yang unggul” selaras dengan moto KSY iaitu “Kreatif, Dinamik Berinspirasi”.

KKSY menawarkan ambilan pertama bagi Program Sijil Rekabentuk Dalaman pada tahun 2003 dimana penambahbaikan secara komprehensif sistem penyampaian pendidikan, latihan dan pembelajaran dilaksanakan dengan program-program baharu ditawarkan dari semasa ke semasa. Peningkatan sebanyak lima (5) program tambahan bermula pada ambilan Julai 2007 dengan penawaran kursus Sijil Multimedia Kreatif Animasi, Fesyen dan Pakaian, Bakeri dan Konfeksionari, Hotel dan Katering, dan Sijil Pendidikan Khas (masalah pendengaran). Bermula pada November 2013, KKSY telah menawarkan program diploma di Kolej Komuniti iaitu Diploma in Games Art.

Kini, KKSY menawarkan 7 kursus; Diploma Games Art, Program Kulinari, Program Asas Kulinari, Program Pastri, Program Operasi Perhotelan, Program Rekabentuk Dalaman, dan Program Fesyen & Pakaian. Pelajar KKSY didedahkan kepada trend dan amalan terkini syarikat-syarikat bagi menghasilkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Pelajar juga dapat mempelajari pendekatan praktikal dalam menangani masalah dan situasi yang berlainan melalui penyelidikan berasaskan projek.

Selain daripada menyediakan laluan alternatif melalui penawaran Diploma dan Sijil kepada pelajar lepasan sekolah menengah, KKSY turut menawarkan kursus jangka pendek di bawah Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat. Kursus-kursus pendek ini terbuka kepada semua warga Malaysia tanpa mengira batasan umur sebagai hab Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam memberi latihan kemahiran berdasarkan permintaan industri dan keperluan semasa. Kursus yang ditawarkan di reka bentuk bagi mengemaskini pengetahuan dan membina kemahiran dalam penggunaan teknologi media baru dan kekal relevan seiring dengan industri yang bergerak ke hadapan kepada komuniti setempat.

KKSY kini terus menjadi daya penggerak bagi pembelajaran inovatif - menumpu pendidikan dan teknologi - sambil mengekalkan permintaan pasaran dan kemajuan. KKSY menggunakan pendekatan dalam memanfaatkan sepenuhnya perkongsian pintar dengan pihak berkepentingan dan membawa semua pengalaman ini kepada pelajar untuk memastikan pendidikan yang benar-benar global.